Institusi keluarga adalah tonggak kepada pembinaan sebuah komuniti, kampung, daerah atau wilayah, negeri sehinggalah kepadapembentukan negara yang harmonis. Kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada kejayaan kelompok mikro, iaitu komuniti kampung dan keluarga.
Sekiranya ibubapa berjaya memimpin ahli keluarga, ketua kampung atau penghulu boleh dikira telah berjaya sebahagian besarnya.
Kampung cemerlang, kepimpinan negeri akan lebih banyak mempunyai ruang untuk memajukan negeri tanpa banyak kerenah dan masalah dalaman, yang mana hari ini menjadi isu yang mengganggu seperti keruntuhan sosial, keretakan rumahtangga, pergaduhan, pembunuhan, jenayah dan sebagainya.
Lantaran itu, untuk langkah pengukuhan menjadikan profesion kepemimpinan dipandang tinggi, ia mesti bermula dengan dengan memartabatkan profesion ibubapa untuk dihayati oleh semua.
Hari ini, profesion kepemimpinan dalam jabatan, syarikat mahupun politik menjadi rebutan ramai orang. Menjadi seorang YB adalah satu kemegahan, meskipun berdepan dengan pelbagai reaksi dan kadangkala tentangan daripada rakyat setempat.
Ironisnya, menjadi pemimpin dalam keluarga banyak tidak diendahkan malahan ramai yang tidak jelas tentang bidang tugas serta mengabaikannya. Barangkali kerana tidak ada pilihanraya di kalangan ahli keluarga sama ada boleh melantik semula atau menggugurkan ibubapa daripada jawatan tersebut.
Idea mewujudkan piawaian keluarga cemerlang adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan, agar profesion ibubapa dipandang tinggi dengan adanya tahap penilaian seperti ini. Ia juga membolehkan untuk diberi pengiktirafan kualiti perkhidmatan ibubapa kepada anak-anak, kualiti hubungan anak-anak dalam keluarga serta beberapa aspek lain yang berkaitan, sepertimana pengiktirafan anugerah kualiti di peringkat jabatan, negeri dan nasional.
Usaha sebegini adalah perlu dijayakan dengan sokongan semua pihak. Penubuhan Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) adalah sesuatu yang tepat untuk menerajui masyarakat ke arah memikirkan cabaran, solusi, masa depan ibubapa menghadapi peredaran zaman.
Dahulu, isu sebegini tidak difikirkan secara serius memandangkan kebanyakan ibubapa melaksanakan duti mereka secara sepenuh masa, di samping menjalankan kerja-kerja mencari rezeki. Hari ini, baik ibu mahupun bapa, kebanyakannya secara sepenuh masa terlibat dengan urusan kerja di luar rumah, meninggalkan anak-anak dan keluarga di bawah pengawasan pembantu rumah.
Tidak hairanlah, akhir-akhir ini timbul isu peristilahan 'pengurus rumahtangga' untuk menggantikan imej pembantu rumah pada masa depan. Persoalannya, apakah bidang tugas ibubapa semakin mencabar atau dilihat semakin profesional yang menyebabkan perlu kepada seorang pengurus tambahan.
MAPIM dilihat mampu memainkan fungsi sebagai dewan perwakilan untuk ibubapa bersidang dan bermuafakat mencari penyelesaian isu-isu semasa, menambahbaik perkhidmatan sebagai ibubapa dan merencanakan masa depan bersama rakan sejawatan.
Begitu juga dari sudut perspektif yang lain, profesion ibubapa adalah satu jawatan yang mempunyai pengaruh dan bidang kuasa yang komprehensif. Di samping elemen kepemimpinan yang seringkali menjadi rebutan orang ramai pada hari ini, ibubapa juga adalah guru, kaunselor dan rakan karib.
Secara mudah, persoalan seperti, berapa banyak masa kita peruntukkan setiap hari untuk melaksanakan tugas pengajaran kepada anak-anak.
Ataupun anak-anak kita hanya hadir kuliah sekali seminggu atau sebulan? Jika keberadaan guru atau pensyarah dalam kelas diambilkira sebagai sesuatu yang serius, kenapa tidak ibubapa?
Barangkali ramai ibubapa berpendapat, bidang tugas mereka hanya menjaga anak-anak semasa bayi? Malah hari ini, mulai ramai anak-anak yang dibesarkan oleh pembantu rumah dan pusat-pusat jagaan sejak dari bayi?
Ibu dan bapa adalah guru wanita dan lelaki, saling melengkapi tugas masing-masing. Guru wanita lebih sesuai sebagai guru kaunselor dan guru lelaki pula amat sesuai sebagai guru disiplin.
Begitu indah jika tugas hakiki ibubapa sebegini berlangsung dalam bentuk sinergi yang melengkapkan tugas pengajaran anak-anak seperti sebuah sekolah.
Tidak bermakna, tidak ada peranan guru di sekolah, tetapi ibubapa adalah guru sebenarmanakala guru-guru di sekolah adalah pembantu menjayakannya.
Begitu juga, ibubapa adalah pengasuh sebenar manakala pembantu rumah atau pusat jagaan adalah pembantu. Kedua-duanya perlu dinilai prestasi mereka dari masa ke semasa. Sebagai ibubapa, apakah kita telah melaksanakan tugas kita sebagai guru yang berjaya, kaunselor yang dipercayai, guru disiplin yang menyelesaikan kebanyakan masalah disiplin, ataupun rakan karib yang menjadi tempat anak-anak berkongsi kehidupan? Ataupun ada guru lain yang lebih disanjungi selain kita? Kaunselor lain yang lebih dipercayai? Guru disiplin lain yang lebih dihormati? Atau rakan karib lain yang sering mereka berkongsi segala-galanya?
Hasilnya, ramai di kalangan ibubapa yang menjawat jawatan-jawatan di atas tetapi tidak ada kuasa melaksanakannya, hilang kepercayaan, tidak dihormati malah ditentang terang-terangan oleh anak-anak, yang sudah tentu ada guru, kaunselor dan rakan karib lain yang mempengaruhi hidup mereka.
Saya tertarik dengan ucapan Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran pada Konvensyen Keibubapaan Peringkat Negeri Sabah di Semporna, tahun lalu di mana beliau menekankan soal pentingnya ibubapa memahami bahawa profesion ibubapa itu adalah sesuatu yang sangat signifikan, malah penentu sama ada memandu keluarga ke syurga atau sebaliknya. Dalam Islam, ibubapa adalah dipertanggungjawab mencorakkan seluruh kehidupan anak-anak sama ada menjadikannya baik atau jahat.
Seharusnya sebagai ibubapa yang profesional, kita mesti jelas dengan bidang tugas hakiki yang sepatutnya menjadi indikator pencapaian prestasi (KPI) yang diaudit untuk penilaian setiap masa. Dalam konteks ini, saya percaya konsep audit dalam secara berintegriti adalah paling sesuai. Ini kerana penilaian kualiti keibubapaan adalah bersifat formatif dan bertujuan untuk penambahbaikan berterusan. Sesuatu yang sangat tepat ditentukan dalam Islam, apabila perkahwinan antara dua insan berbeza jantina dilihat amat ampuh sebagai audit dalam yang efektif.
Ibu menilai pencapaian KPI bapa manakala bapa menilai pencapaian KPI ibu. Dalam hal penilaian prestasi keibubapaan, saya berpegang kepada konsep tradisi ulama Islam bahawa anak-anak tidak seharusnya menilai prestasi ibubapa, tetapi sebagai ibubapa yang professional dan mengamalkan prinsip kualiti yang berintegriti dan transparen, anak-anak perlulah dijadikan responden atau sumber penilaian dengan andaian mereka adalah pelanggan perkhidmatan kita.
Barangkali perlu ada istilah 'letak jawatan' untuk ibubapa yang gagal menepati sasaran prestasi minimum. Atau juga mungkin perlu diwujudkan dalam keluarga kita bentuk tindakan pembetulan segera sekiranya gagal melepasi audit, secara berhikmah.
Ini adalah sebahagian tugas hakiki ibubapa. Sebagai satu profesion, ibubapa mestilah merangka skop tugasan, sasaran pencapaian dan penilaian prestasi mereka.
Organisasi seperti MAPIM, PIBG, LPPKN, JAKIM dan jabatan-jabatan agama adalah antara yang perlu segera berkolaborasi untuk menyediakan skop tugas ibubapa sebagai profesion yang praktikal, professional dan berkualiti. Mungkin skop tugas ibubapa baru berbeza dengan ibubapa senior dalam beberapa keadaan berdasarkan pemberat sesetengah aspek.
Terdapat idea ke arah mewujudkan Standard Keluarga Cemerlang yang saya kira amat wajar dipertimbangkan, di mana ia perlu diselarikan dengan skop tugas keibubapaan yang perlu dirangka lebih dahulu.
Tidak perlulah ditimbulkan isu profesion berbayar ataupun tidak, tetapi lebih penting bidang tugas jawatan yang kita sandang itu terlaksana ataupun tidak?
Ibubapa perlu merasakan tugas keibubapaan tersebut sebagai amanah kepemimpinan di mana rakyatnya adalah ahli keluarga ; megah dengan profesion tersebut, berkongsi pandangan dan pengalaman dengan rakan sejawat lain bagi penambahbaikan perkhidmatan keibubapaan dari masa ke semasa.
Dalam perspektif Islam, perbincangan ini bukanlah asing kerana ia berkait rapat dengan amanah sebagai ibubapa, adab dalam keluarga dan ibadah mendidik serta membesarkan anak-anak. Namun dalam perbincangan konteks semasa, perspektif profesion dan kualiti yang mudah difahami oleh masyarakat hari ini diambilkira sebagai wasilah untuk lebih mudah difahami dan dihayati.
Wadah perbincangan sebegini perlu diteruskan dengan perbincangan lebih terperinci tentang pendrafan skop tugas hakiki ibubapa, audit berdasarkan piawaian keluarga cemerlang, cabaran profesion keibubapaan dan solusi-solusi praktikal sama ada berbentuk falsafah, inovasi mahupun produk teknologi yang boleh meningkatkan lagi perkhidmatan keibubapaan dalam era yang semakin berubah.
0 comments:
Post a Comment